18kippu

Jom lepak! Kita beriman sejenak.


Leave a comment

Nota TAIFU (Episod 7)

Credit to : adik N

p/s : Ini nota malam tu yang abang minta. Nota saya tak lengkap sangat tau, abang L, minta maaf ya. Kalau ada kurang atau silap tu, abang betulkan dan tambah lah ya. Semoga bermanfaat. Hihi

Nota TAIFU slot 1 :

A. Beberapa pandangan tidak harmoni tentang al-Quran

1. Dibaca untuk pahala

-Bila bulan Ramadan, berlumba-lumba orang baca Quran.

-Bulan-bulan lepas tu, tinggal atas almari.

-Sebab apa? Sebab dalam bulan Ramadan, dapat banyak pahala.

-Jadi kita ni, baca al-Quran semata-mata nak kejar pahala sahaja.

-Bukan sebab nak tambahkan kefahaman pada Quran.

-Sebab itu, kita lagi sibuk betulkan tajwid, daripada betulkan kefahaman kepada al-Quran.

2. Diletak di tempat tinggi

-Al-Quran ini selalu letak kat atas almari, tempat yang tinggi-tinggi sangat, sampai tak tercapai dengan tangan.

-Sebab tu Quran terasa jauh dari diri kita.

-Bila ada masalah, tak cari al-Quran.

-Sebab Quran jauh.

-Dikeluarkan dalam majlis-majlis tertentu sahaja. Seperti buat hantaran kahwin.

3. Dibaca dalam masjid

-Kena baca Quran dalam masjid atau surau sahaja.

-Kalau baca di tempat umum (terbuka) seperti dalam kereta api atau bas, nanti orang pandang pelik.

-Orang rasa tak selesa, sebab Quran tu mereka rasa perlu baca dekat tempat mulia sahaja.

-Sedangkan sepatutnya Quran kena baca setiap kali ada kelapangan, di mana sahaja.

4. Dibaca oleh orang baik

-Kalau ada orang kita tak kenal, kita pergi rumah dia, nampak ada Quran atas meja, mesti kita rasa dia orang baik.

-Sebab kita rasa, orang baik sahaja yang baca al-Quran.

-Sepatutnya, Quran ini dibaca oleh semua.

-Sama juga, kita rasa, kita tak boleh bercakap, bersembang, berbincang tentang al-Quran.

-Hanya orang baik sahaja boleh cakap tentang al-Quran.

B. Interaksi yang harmoni dengan al-Quran

1. Al-Quran untuk kita

-bila baca Quran, kena rasa ayat itu ditujukan kepada kita.

-bukan ditujukan kepada Nabi Muhammad sahaja

-jadi bila ada ayat-ayat perintah, kena rasa lah, perintah itu ditujukan kepada kita, jadi kita kenalah buat.

2. Kita ialah hamba dan khalifah

-Setiap orang ada pandangan berbeza-beza

-Petani, kalau baca buku tentang ikan, pandangan dan perasaan dia tak sama macam nelayan yang baca buku tentang ikan.

-Kalau kita tak memahami tanggungjawab kita sebagai hamba dan khalifah, pandangan dan perasaan kita masa baca Quran takkan sama dengan para sahabat.

-Abang M kata, kalau nak faham tentang hamba dan khalifah lebih lanjut, kena datang program seterusnya (atau bincang dalam bulatan gembira)

3. Munajjaman

-Quran turun sikit demi sikit

-Supaya boleh diserapkan dalam hati dengan mudah

-Kalau turun sekaligus, kefahaman tu tak meresap dan mendarah daging dalam diri.

-Jadi macam itu juga kita, kena faham sedikit demi sedikit, dan penting sekali amalkan.

4. Kita kena selalu kumpul

-Kita kena selalu dekatkan diri dengan orang-orang yang sayangkan agama macam kita.

-Sebab kefahaman dan pandangan kita ini berbeza-beza, jadi kalau kumpul ramai-ramai, boleh kongsi dan dengar pandangan orang lain.

-Peringatan untuk diri : kena rajin, jangan malas-malas ponteng bulatan gembira dan program-program.

5. Bahasa arab

-Al-Quran diturunkan dalam bahasa arab

-Bahasa arab ada nahu, sorof dan balaghah.

-Perkataan-perkataan dalam al-Quran ada nada (perasaan) yang ingin ditonjolkan.

-contohnya, ayat yang bernada marah, gembira, memujuk dan lain-lain.

-Jadi, kita kena kuasai bahasa arab.

-Kalau dalam keadaan kita sekarang, yang tak pandai bahasa arab, kena usaha membaca tafsir al-Quran.

C. Muqaddimah Zilal

1. Al-Quran sebagai pembeza (furqaan) antara jahiliyyah dengan Islam

2. Matlamat hidup orang yang hidup di bawah bayangan Quran dengan orang yang hidup di bawah bayangan jahiliyyah, berbeza. Kita hidup di bawah bayangan mana?

3. Bila baca Quran, sepatutnya kita akan dapat melihat keseimbangan antara syariat Allah dengan harakat (pergerakan) alam dan harakat kehidupan manusia. Jadi bila kita nampak kehidupan kita ini berkecamuk, banyak sistem-sistem yang rosak dan sebagainya, sepatutnya kita faham, bahawa jalan untuk mengembalikan keseimbangan alam, ialah dengan mengembalikan syariat pada tempatnya.

4. Dunia ini hakikatnya lebih besar dan luas. Dan ia meliputi alam syahadah dan akhirat.

5. Manusia ini mulia kerana rohnya (akidah). Jadi, setiap manusia yang berkongsi akidah yang sama dengan kita adalah saudara kita, warganegara kita, dan tanah air kita. Inilah ikatan yang menyatukan kita, melewati batas-batas ikatan darah, bangsa dan sebagainya.

adik N sedang salin nota

bersambung…

 

Episod 6

Episod 5

Episod 4

Episod 3

Episod 2

Episod 1

Advertisements


Leave a comment

Aku sayang juga… (Episod 6)

Suasana hening seketika.

Dia di depan sedang bercerita tentang dunia yang menggila. Ya, gila! Menyepak-nyepak, memijak-mijak syariat mulia ini di depan kita semua. Dan lebih gila lagi, dia memandang bersahaja agama ini dipersenda. Paling gila sekali, tentulah kerana, dia mengaku dia sayangkan agama.

Dia di depan sedang bercerita tentang dunia yang menggila. Sesekali dia terdiam, menggigit bibir, menahan rasa sesal yang hadir barangkali. Dia bangkit lagi, bercerita dan bercerita.

Kemudian dia bertanya. Ah, aku lebih dulu bertanya hatiku sebenarnya, “mengapa sampai begini jadinya kita?”.

Sedang makin bercambah kuliah agama, bertambah pula maksiat melata.

Makin banyak formula solat sempurna, makin meriah pula zina dijaja.

Pemuda yang diharap membela agama pula, semangat juangnya entah ke mana-mana. Bising melalak untuk isu-isu picisan. Bergaduh, berbalah, saling mencaci dan mengeji untuk perkara-perkara kecil. Entah apa sebenarnya yang hendak mereka perjuangkan.

Ah, kusut!

Bukan suara-suara encik I, encik J dan encik K yang sibuk berbincang yang menyerabutkan. Bukan juga suara-suara dari perbincangan kumpulan lain yang mencelarukan.

Ia di dalam. Di sudut hati yang tersembunyi. Suara dia bergema-gema, membingitkan jiwa.

“Anda sayangkan agama ini?”

Ada sesuatu yang hilang di sini.

Aku sayang juga agama ini. Bahkan aku rasa, mereka juga sayang agama ini. Kami solat, kami puasa dan bayar zakat. Bahkan kamilah yang memenuhi masjid-masjid, bertarawih. Dan solat raya, meriah dengan warna-warni baju baru kami.

Kami baca juga al-Quran. Tambah-tambah bila tiba ramadhan, makin laju kami menghabiskan bacaan.

Ya, al-Quran!

Mungkin bukan sayang pada agama ini yang hilang. Mungkin ia cuma kurang, kerana kurangnya aku, dia dan mereka, memahami al-Quran, seperti yang sepatutnya difahami.

Kerana generasi sahabat dulu, sayangnya mereka pada agama bukan tiba-tiba datang. Ia terbit dari kefahaman pada al-Quran. Sedikit demi sedikit, difahami dan diamalkan. Satu demi satu, ayat yang turun, hingga akhirnya menjadilah mereka generasi yang mulia.

Yang sayangkan agama, dan menyebarluaskannya. Hingga jadilah Islam, paling tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi darinya.

Ya, kuncinya ialah memahami al-Quran.

Dia di depan sedang bercerita tentang dunia yang menggila. Kerana memiliki kitab mulia, tapi tidak berusaha memahaminya. Dia berkongsi sedikit rahsia, bagaimana memahami al-Quran sepertimana yang seharusnya.

Dan aku, di sudut bilik itu, memasang telinga, mendengar dan cuba memahami. Supaya dapat aku amalkan bila pulang dari TAIFU nanti.

Kerana sesungguhnya, aku juga sayangkan agama ini…

Dia di depan sedang bercerita

Dia di depan sedang bercerita

bersambung…

 

Episod 7

Episod 5

Episod 4

Episod 3

Episod 2

Episod 1


Leave a comment

Bahang! (Episod 5)

Panas!

Tidak pasti bahang dari 2 ‘heater’ besar di dalam bilik, atau darah yang mendidih di dalam hati. Peluh-peluh kecil mula membasahi lengan yang letih memegang kertas putih besar bertulis perancangan lengkap pembinaan Akademi Sukan.

Sudahlah sebentar tadi berhempas pulas berbincang merangka idea di dalam kumpulan. Masa yang diberi begitu singkat, tak cukup rasanya meluahkan segala idea. Diberi soalan yang pelik pula,

“Anda ialah bekas pemain bola sepak negara. Anda diminta merangka sebuah akademi sukan, dan diberi kebebasan merangka sukatan pelajaran. Rangka akademi sukan anda dan bentangkan kepada panel penilai.”

tangan letih pegang kertas... (tapi ini bukan gambar aku... hihi)

tangan letih pegang kertas... (tapi ini bukan gambar aku... hihi)

Susah payah kami merapikan rancangan, tiba-tiba dengan selamba tanpa rasa bersalah, Encik E mengeluarkan komen,

“Saya rasa sukan-sukan ni tak penting, dan tak membantu pun perkembangan Malaysia. Membazir sahaja nak beri dana untuk realisasikan idea kamu yang tak seberapa ini. Baik kami beri dana kepada kumpulan lain yang lebih bermanfaat seperti membina sekolah dan hospital!”

Bahang!

Penat berbincang ditambah penat memegang kertas putih besar ini, ditambah komen selamba Encik E, memang cukup mencelarukan perasaan. Darah berpusu-pusu naik ke otak.

‘Dah kalau tak penting, buat apa suruh kami berbincang soalan ini’

Spontan sahaja aku meluru ke hadapan dan menumbuk muka Encik E.

Eh, itu imaginasi sahaja.

Spontan sahaja aku meluru ke hadapan dan mencapai mikrofon daripada Encik G dan membalas semula kata-kata Encik E, dengan ayat-ayat yang tidak kurang selamba tanpa rasa bersalah juga.

Tak ingat perkataan apa yang diucapkan, tapi nampaknya Encik E tersenyum-senyum dan mengangguk kepala, ‘puas hati lah tu…’

Tidak beberapa lama, sesi ‘Sharing is Caring’ itu pun berakhir. 6 kumpulan yang diberi soalan lebih kurang sama pelik, telah selesai membentang idea dan menjawab soalan-soalan selamba Encik E.

Semua peserta duduk dalam keadaan tenang di tempat duduk masing-masing.

Kelihatan beberapa orang masih berkerut-kerut dahi, ‘masih tak puas hati dengan Encik E lah tu… Siaplah Encik E nanti masa perang bola salji…’

Isy, syaitan ini memang tak boleh tengok aku senang sekejap, ada sahaja nak bisik perkara tak elok.

Istighfar, istighfar.

Encik E merumuskan aktiviti petang itu dengan tenang, dan menjelaskan kembali tujuan aktiviti ini dijalankan.

Dalam keadaan tenang itu, aku memuhasabah kembali apa yang Encik E katakan. Dan baru aku tersedar betapa banyaknya perkara baru dan idea-idea menarik yang telah aku belajar dari aktiviti ini.

Dan lebih penting lagi, aku makin memahami bagaimana nak menerapkan Islam dalam kehidupan seharian.

Yang paling menarik, tentulah dapat menjawab semula soalan-soalan Encik E sampai dia terdiam.

Eh, bukan!

Yang paling menarik, tentulah ukhuwwah sesama kami semakin kukuh dari aktiviti ini. Aku sudah tak malu-malu lagi nak bertegur sapa dengan peserta lain.

Yeay!

Tak sabar nak tunggu aktiviti seterusnya…

Bersambung…

 

Episod 7

Episod 6

Episod 4

Episod 3

Episod 2

Episod 1


Leave a comment

Dari Malaysia ke Nagano~ (Episod 4)

“Ah, hari ni ke?.” Terdetik hati kecil berkata, melihat status FB encik F. Fikiran mula melayang, memori Winter Gathering tahun lepas menggamit perasaan. Himpunan yang mengumpulkan hamba-hamba Allah yang riang, yang ingin berukhuwah, yang ingin juga ingat-mengingati antara satu sama lain. Terkenang setiap wajah yang hadir pada masa itu. Ada lagi yang masih kekal meneruskan perjuangan di sini. Ada juga yang sudah pulang ke tanah air tercinta, meneruskan perjuangan di sana.

“Selamat berTAIFU semua. Saya akan menyusul kemudian.”

Hanya itu yang mampu kutulis, merasakan sangat teringin bersama mereka ketika ini. Namun, beberapa perkara yang kukira penting untuk diuruskan di Malaysia menyebabkan aku tidak mampu bersama mereka ketika ini. Tidak apa, berTAIFU itu penting, balik Malaysia pada waktu ini juga penting, namun di dalam semua perkara penting itu, ada prioritinya, dan balik Malaysia adalah lebih prioriti.

              Malaysia. Inilah kali pertama aku balik ke Malaysia pada cuti musim sejuk selama hampir 3 tahun di perantauan. Maka aku berkesempatan bermalam-malaman di 31 Dis. Tarikh yang amat dinanti oleh kebanyakan orang. Tarikh yang kebanyakan insan mula ber`muhasabah` diri sepanjang setahun yang lalu dan mula memikirkan apakah azam mereka pada tahun yang akan datang. Mampu dicapai atau tidak itu perkara kedua, yang penting buat. Tradisi mungkin?

31 Dis juga dinantikan kerana ia juga satu hari `perayaan` bagi sesetengah orang terutama di kawasan bandar. KLCC, Dataran Merdeka, Bukit Bintang, beribu orang berkumpul hanya untuk megira turun @ menurun kira ( baca : count down ), bersosial tanpa kawalan. Dan jika boleh diandai dengan graf ketidakelokan melawan tahun, ternyata perhubungannya adalah berkadar terus. Itu yang kufikirkan selama ini. Namun seperti mafhum kata-kata bijak pandai, “Malam yang paling gelap adalah waktu ketika sebelum subuh.” Ketika jahiliyah sudah mencapai puncaknya, ketika itulah kebenaran akan mula bersinar. Program sambutan tahun baru Islami semakin banyak dan masyarakat berbondong-bondong mengerumuni program seperti ini. Berpuluh ribu hadir program bersama ustaz Azhar di Shah Alam. Lebih seribu remaja menghadiri Himpunan 1000 Jiwa anjuran Raudhatus Sakinah. Bagi seorang Muslim yang mencintai agamanya, ini satu motivasi yang besar. Tinggal diri yang mahu berpeluk tubuh atau menghulurkan tangan bersungguh-sungguh.

 …

“Kroooookkkk, kruuuuuk, krrruuk”. Perut berbunyi, memanggil Ikan dan Cip ( baca: fish and chips) Marrybrown yang tersedia di depan mata. Inilah kali pertama seumur hidup makan di Marrybrow memandangkan yang paling dekat dengan terminal pelepasan antarabangsa LCCT hanya itu dan McD. McD bagi pencinta dan penyokong Palestin adalah jenama yang perlu diboikot, beserta jenama yang lain seperti Nestle. Penerbangan Air Asia ke Kansai akan berlepas pada pukul 8.20 pagi. Wah, tak sabar hendak bertemu dengan semua brothers di sana. Sampainya ke Namba, cuba nasib mana tahu ada tiket bas ke Nagano malam ini. Alhamdulillah ada! Terus dibeli, balik ke rumah untuk berkemas dan pukul 9.30 malam, bergerak ke Nagano. Bertuah dapat bas 3 kerusi kerana bas yang sepatutnya rosak dan kerusi belakang tiada orang, memang tidur lena di dalam bas ke Nagano. Tiba di Nagano pada awal pagi, disambut mesra oleh brother Hadi dan Taqi dengan Fit Merah encik Z.

Ya, sungguh jauh dan panjang perjalanan ke TAIFU kali ini. Merentas lautan, menembusi udara, melalui lebuhraya yang panjang, namunkalau tidak kerana cinta kepada rakan-rakan seIslam dan suasana Islami itu sendiri, tiadalah motivasi itu. Dapat melihat senyuman encik A, B, C, D sampai Z, juga brothers Hadi, Hilmi dan berpelukan dengan mereka, hilang semua kepenatan, dan pengorbanan ini sangat berbaloi. Semoga Allah membalas setimpal dengan usaha kami ini.

Amin.

hilang keletihan...

hilang keletihan……dapat menatap wajah-wajah mereka~

Bersambung…

Episod 7

Episod 6

Episod 5

Episod 3

Episod 2

Episod 1


Leave a comment

Pre TAIFU (Episod 3)

Sedang asyik kupukul djembe dengan rentak afrika yang baru kupelajari, tiba-tiba wajah keriangan peserta-peserta Tarbiyah in Fuyu (TAIFU) hinggap ke fikiranku menghentikan alunan bingit djembe seketika.

djembe, percussion tradisional afrika yang diperbuat daripada kulit kambing

Baru saja beredar TAIFU tidak sampai seminggu yang lalu. Lantas mengelak padamnya memori indah bersama sahabat-sahabat lain di TAIFU, secebis gambaran kuluahkan di ruangan 18kippu ini.

Kalau nak diikutkan mahu saja aku membatalkan niat ku ke TAIFU pada asalnya, memandangkan poketku yang semakin kering dan terus kering tanpa sebarang tanda untuk menjadi basah dalam masa terdekat ini. Nak ke program TAIFU tu bukannya macam pergi belakang rumah. Sememangnya perlu belanja yang agak besar kerana beribu kilometer jauhnya dari kawasan penempatanku ini.

Namun memang tak kurang juga sahabat-sahabat dari kawasan penempatan yang lain yang sanggup belanjakan duit untuk ke TAIFU demi mendapatkan KEMANISAN BERUKHUWWAH😉. ‘memang gua respek lu org suma bro’.

Wahai orang-orang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui, 61:10-11

Lantas beberapa hari sebelum TAIFU bermula, aku menerima mesej daripada Encik D menanyakan khabarku.

bersambung….

Episod 7

Episod 6

Episod 5

Episod 4

Episod 2

Episod 1


2 Comments

Meredah Taufan Salju (Episod 2)

Sedang menikmati suasana riang bermandikan salju, tiba-tiba bayangan Encik C dan rakan-rakan timbul di dalam fikiran. Tertanya-tanya entah bagaimana perjalanan mereka ke sini, tidak sabar menanti perjumpaan yang sudah lama ditunggu, hanya doa dapat dikirim.

Pada waktu yang sama, di satu kawasan yang terpencil, di mana Encik C sedang berada…

“A~choom!! Alhamdulillah…”

Satu badan berketar akibat kesejukan bawah kosong di Nagano. Tidak menghiraukan semua itu, kami pantas bersiap sedia untuk berangkat dari Kolej Teknikal Nagano (Nagano Kosen) bersama rakan-rakan satu batch yang mengikuti program TAIFU kali ini, walaupun baru sahaja pulang dari KTJ (Kumpulan Teknikal Jepun) Winter Gathering tempoh hari. Kalau bukan kerana hati yang dahagakan iman dan ukhuwah, mungkin kami akan terus berkurung di dalam bilik melayan game dan internet. Tetapi, tidak mengenal erti letih, walau tubuh meraung keperitan akibat bermain ski selama dua hari berturut-turut, kami terus menggalas beg Deuter masing-masing, melangkah ke stesyen Sansai untuk menaiki densya menuju ke stesyen Suzaka, lokasi program TAIFU kali ini.

Tidak sampai setengah jam, kami norikae di stesyen Nagano, menaiki tren bawah tanah (chikatetsu) yang memakan masa 25 minit ke stesyen Suzaka. 25 minit terasa bagaikan satu hari, akibat terkenangkan sahabat-sahabat yang sudah lama tak ketemu. Semakin hampir dengan destinasi, semakin membuak-buak perasaan rindu ini, seperti magnet yang terpisah didekatkan bersama, mungkin beginilah juga perasaan sahabat-sahabat yang menanti kehadiran diri ini.

Tiba di stesyen Suzaka jam 11.25 pagi, kami dijemput oleh beberapa orang brother yang sudah menunggu di situ beberapa lama, untuk membawa kami ke Suzaka Seinen no Ie, tempat penginapan dan program dijalankan, dengan kereta Honda Fit merah dan sebuah lagi kereta yang kelihatan seperti pajero (tak ingat sebenarnya..hihi…). Kedua-dua pun bergaya. Malangnya, muatan kereta tidak mengizinkan bilangan penumpang yang banyak. Tinggallah saya bersama seorang brother (Hadi) yang pernah saya tumpang di rumahnya semasa cuti musim panas yang lalu, berdua di stesyen tersebut.

"Permandangan di stesyen Suzaka"

Sambil menunggu Honda Fit merah dan juga dua orang lagi sahabat yang sedang menuju ke sini menaiki densya dari Kanazawa, kami berdua berjalan-jalan mencari kedai (konbini) untuk mencari sedikit snek dan roti bagi mendiamkan perut yang sedang menggeroncong. Perjalanan dipenuhi dengan perbualan yang mesra dan gurauan yang mengusik hati. Kami berdua menceritakan keadaan semasa di tempat masing-masing. Asyik dengan perbualan kami, sedar tidak sedar kami sudah pun berjalan hampir 1 km, terlajak jauh dari destinasi yang ingin dituju. Rupa-rupanya kami telah ditipu oleh gajet kecil, i-phone yang menjadi “tourist guide” kami sepanjang perjalanan. Bila disemak semula, rupa-rupanya bersepah konbini berhampiran stesyen  tadi, tidak sampai 300 meter pun yang paling hampir. Perjalanan terasa sangat sekejap apabila pulang ke stesyen, mungkin gara-gara perut yang menggerakkan kaki.

Setelah perut terasa sedikit aman dengan sebatang SNICKERS dan secebis roti, kami meneruskan penungguan kami di stesyen di dalam bilik menunggu.

Jam menunjukkan tepat pukul 1.15 tengah hari. Selang beberapa minit, bayangan Encik D dan Encik E kelihatan di pagar keluar. Suasana terus bertukar daripada suram sepi dek keletihan menjadi penunggu stesyen, menjadi riang dan meriah setelah bersua muka sahabat yang sering menceriakan hati ini.

Kami pun bergegas turun ke tempat parking kereta. Sedang menuruni tangga stesyen, kebetulan brother yang pandu Honda Fit merah (Hilmi) tu pun sedang menaiki tangga yang sama untuk menjemput kami. Masing-masing kalut mengejar jadual tentatif program (mengejar waktu makan yang tamat pukul 2 sebenarnye…hihi…). Oleh kerana kelewatan yang teramat, walaupun banyak lagi pertanyaan dan pengenalan diri yang ingin diperkatakan, semua itu kami tangguhkan, tanpa membuang masa kami sumbatkan beg-beg kami ke dalam but kereta. Enjin yang masih hangat itu terus dihidupkan semula, dan kami pun bergerak menghala destinasi kami untuk ‘meredah’ TAIFU yang sedang menanti.

Perbualan kami yang terhenti tadi kami sambung semula sewaktu dalam perjalanan. Setelah semua sudah mengenali antara satu sama lain, brother Hadi memulakan aktiviti pertama (selepas makan) iaitu KOMPAS, dengan memberikan sedikit taklimat ringkas tentang program kali ini, yang sepatutnya kami dapat di lokasi program pada waktu yang sama. Sangat ringkas, tidak sampai 5 minit taklimat sudah tamat. Kami pun tertanya-tanya…

“So, diorang kat sana tengah buat ape sekarang ni bro?”

“Haa….diorang skarang ni tengah main game!”

game?!”

Hati mula rancak, tidak sabar menunggu aktiviti apa yang menanti kami…

bersambung…

Episod 7

Episod 6

Episod 5

Episod 4

Episod 3

Episod 1


2 Comments

Epilog TAIFU (Episod 1)

Kereta api (densya) bergerak perlahan meninggalkan stesyen shin-yamaguchi menuju ke iwakuni. Encik A dan Encik B terus melelapkan mata sebaik sahaja densya mula bergerak. Keletihan agaknya. Maklumlah, kami bergerak keluar dari rumah sahabat di fukuoka awal pagi lagi, menuju ke okayama menggunakan densya biasa (guna 18 kippu, mengambil semangat penulis-penulis blog ini). Perjalanan hampir 10 jam setengah dengan 6 kali bertukar tren (norikae), memang mewajarkan mereka berasa penat hingga terlelap.
Saya masih seperti tadi.
Membuang pandangan jauh ke hadapan. Entah mengapa, mata masih degil terbuka. Di celahan latar sawah padi di luar tingkap densya, bagai terbayang-bayang wajah sahabat-sahabat berlari bermain perang bola salji. Bagai terngiang-ngiang suara sahabat-sahabat menyanyikan lagu tema winter gathering 2010. Malah masih terasa bahu disapa lembut seorang brother, “Ok ke? Dah makan ubat?”.

Buku “Perang-perang Yang Benar” setebal kamus dewan itu, diletak di sisi. Saya selesa begini. Melayan kenangan-kenangan winter gathering tahun lalu.

Serasa kepenatan bertukar-tukar densya terbang keluar bersama-sama rindu di angin lalu.

Apatah lagi, perjalanan saya kali ini turut ditemani Encik A dan Encik B yang sungguh aktif, ceria dan kelakar. Khabarnya, peserta-peserta winter gathering tahun ini, semuanya riang-riang belaka seperti Encik A dan Encik B. Saya tersenyum sendiri, “peninglah kepala AJK-AJK nak melayan telatah mereka… hehe”.

Sedar tak sedar, tiba-tiba kami sudah sampai di stesyen Okayama. Di situ kami dijemput seorang brother (Muaz), dan dibawa ke sebuah restoran makanan halal. Alhamdulillah, seharian perjalanan hanya menjamah 2,3 ketul roti, kini berpeluang menjamu mee ramen halal Okayama di Restoran Khatijah (promote sikit, hehe).

Selesai makan, kami dibawa berehat di rumah Muaz. Sempat juga bersembang panjang, bertukar pelbagai cerita dengan Muaz. Maklumlah, masing-masing tinggal berjauhan, jadi kesempatan dapat bertemu muka sebegini amatlah terasa kehangatan ukhuwwahnya.

Kemudian, kami bersiap-siap untuk menaiki bas, dari stesyen Okayama ke Shinjuku (tokyo). Terpaksa menempuh lagi kira-kira 10 jam perjalanan. Untunglah, perjalanan kali ini di waktu malam, jadi bolehlah tidur di sepanjang perjalanan.

Keesokan paginya, kira-kira jam 9, kami tiba di shinjuku. Terus bergerak ke rumah salah seorang sahabat di Tokyo, sementara menunggu hari bergerak ke Nagano. Di situ, beberapa orang sahabat telah mula berkumpul, ada yang dari Osaka, Shiga, Okayama dan lain-lain.

Kebetulan pula rumah tersebut dijadikan markas AJK program. Terpaksalah kami turut sama membantu mereka ‘print’ buku program, mengemas fail dan menyusun tag nama (ikhlas insyaallah… hehe).

Memang meriah. Sudah macam suasana orang merewang untuk kenduri kahwin lagaknya. Ditambah dengan orang dapur yang tak berhenti-henti memasak. Sekejap dihulurnya air kopi panas, kemudian dihulur keropok panas, kemudian dihulur pula mi goreng istimewa. Ditambah dengan seteko lagi air teh ‘O’ panas. Belum ditambah keropok-keropok dan coklat yang dibeli di kedai.

Lebih meriah, kami disertai 2 orang abang yang sudah bekerja di Jepun. Sambil-sambil bekerja (lebih banyak makan dari bekerja sebenarnya), diselang selikan dengan perkongsian pengalaman dari abang-abang ini.

Keesokan harinya, kami bergerak beramai-ramai ke masjid Asakusa, tempat peserta-peserta TAIFU (Tarbiyyah In Fuyu – Winter Gathering AMIR 2011) berkumpul. Di situ, telah ramai yang mula berkumpul.

Banyak juga wajah-wajah yang tidak saya kenali. Tapi seperti dijangka, mereka semua memang ceria dan riang-riang belaka (nakal istilah yang lebih tepat saya rasa…).

31 Disember, 6 pagi, seusai solat subuh, kami bergerak menaiki bas menuju ke Nagano. Di dalam bas, peserta-peserta yang terlebih ceria ini, ada-ada sahaja aktiviti mereka. Sekejap bergambar, sekejap bersembang lepas itu ketawa beramai-ramai. Aktif sungguh, terutama geng-geng di belakang bas.

Menghampiri kawasan program, kelihatan jalan-jalan raya memutih diliputi salji. Ada yang sudah terpegun tak terkata, maklumlah pertama kali melihat salji. Terutama, sahabat-sahabat dari Kyushu. 🙂

Tiba di tempat program, dapat sahaja peluang menjejakkan kaki keluar bas, semua sibuk bergambar dan menikmati suasana bersalji. Sampai beg-beg pakaian pun tak dihiraukan lagi. Senda gurau, usik mengusik, gelak ketawa memecahkan keheningan pagi itu.

Program belum bermula, tapi kemeriahan sudah terasa~

bersambung…

Encik A dan Encik B yang sentiasa ceria

Encik A dan Encik B yang sentiasa ceria

Teruja jumpa salji

Teruja jumpa salji

Episod 7

Episod 6

Episod 5

Episod 4

Episod 3

Episod 2