18kippu

Jom lepak! Kita beriman sejenak.


Leave a comment

Rijal yang malas-malasan…

Kembara umur membawa manusia melalui beberapa fasa. Fasa bayi, fasa kanak-kanak, fasa remaja, fasa dewasa dan fasa tua. Setiap fasa-fasa itu punyai ciri-ciri dan istimewa yang khusus. Ketika bayi disayangi dan ditatangi, ketika kanak-kanak segala kesilapan dan kenakalan dimaafi, fasa remaja waktu mencari identiti, fasa dewasa fasa berbakti dan fasa tua kembali kepada kebergantungan untuk disayangi seperti bayi.

Modal yang ada

Bagi sesebuah negara, untuk dikelaskan sebagai negara yang mempunyai harapan, ianya akan dinilai dari segi bilangan muda-mudi yang dimilikinya. Ia baru bilangan, belum lagi kualiti yang dimiliki muda-mudinya. Beruntung amatlah sesebuah negara itu jika pemuda-pemudinya ramai, bahkan berkualiti tinggi pula.

Kenapa dinilai pada pemuda-pemudi?

Kerana itulah fasa bagi segala kebarangkalian. Mereka punyai masa untuk dimanfaatkan. Mereka punyai mimpi yang kepingin untuk dilunaskan. Mereka punyai kudrat untuk dikerjakan. Mereka punyai semangat yang mampu menggugah. Mereka punyai kebijakan yang pantas mengalirkan idea. Dan seribu satu macam lagi kemampuan, kelebihan dan kehebatan.

Namun, hakikatnya bilangan yang banyak bukanlah segala-galanya. Kebobrokan masyarakat, masih lagi berleluasa. Keengganan manusia memanfaatkan akal untuk menerima yang benar dan menolak yang rosak masih jauh. Malah masih ramai lagi yang memilih untuk khayal dalam lautan mimpi keseronokan gejolak hawa nafsu.

Bila ini semua akan berakhir?

Di sinilah terletaknya kesedaran yang mendalam yang mampu menggerakkan perubahan. Setiap yang tersedar, harus meraikan kesedarannya dengan menyinsing lengan merangkul perubahan. Pasakkan semangat yang menggunung, lebarkan ia dengan kesungguhan dalam melaksana! Ketahuilah, fasa yang lebih istimewa dari kesemua fasa-fasa tadi ialah fasa diri menjadi RIJAL. Ianya tidak mengenal usia, tidak membedakan kemampuan dan tiada segregasi dalam relung beramal.

Cumanya, fasa rijal itu ada waktu optimumnya-iaitu ketika ia berada di perantara fasa remaja dan fasa dewasa. Di situlah segala kekuatan, kebijaksanaan, kesungguhan, semangat yang melimpah ruah, kudrat yang gagah dimiliki. Bukankah rugi jika fasa rijal itu hadir setelah segala otot berteriakan tanda dimamah usia?

Kerjakanlah! Inilah masa kita. Kemampuan dan segala kehebatan yang ada sekarang mustahil akan kembali lagi. Ianya akan tetap mengalir sepertimana air. Merugilah bagi sesiapa yang terlepaskannya. Bangkit, dan lawanlah malasmu!

Kerana kamu seorang RIJAL!