18kippu

Jom lepak! Kita beriman sejenak.


Leave a comment

Epilog TAIFU – Epik (episod akhir)

Bas bergerak perlahan meninggalkan Suzaka Seinen No Ie. Encik Y di sebelah sudah terlelap. Letih barangkali. Bergurau, ketawa dan bercanda dengan Encik X dan Encik Z. Maklumlah, seorang di Tohoku, seorang di Kyushu, seorang di Tokyo, peluang berjumpa yang jarang-jarang ini mesti dimanfaatkan sebaik mungkin.

Bertukar cerita, berkongsi rasa.

Saya masih seperti tadi. Selesa membuang pandang kosong ke luar tingkap. Langit gelap tanpa bintang. Kosong!

Seketika jiwa serasa kosong. Masih tidak dapat menerima hakikat bahawa TAIFU sudah berakhir. Sebegini singkat masa menguji ukhuwwah kita.

Duhai!

Andai ada yang bertanya, apa yang saya perolehi dari TAIFU kali ini, bagaimana saya harus bersuara?

Belum terbit lagi madah pujangga untuk menterjemah segala rasa yang mencengkam jiwa.

Maka biarlah video ini sahaja yang bercerita, sebagai ganti cerita indah kita,

Sahabat-sahabat TAIFU,

Andai roboh kota Melaka,

Papan di Jawa kita sorongkan,

Andai sungguh bagai dikata,

Jiwa raga kita serahkan.

Jom berjuang! Di medan masing-masing. Agar tahun hadapan, saat mata bertentang mata, biar luka-luka perjuangan kita yang menceritakan kisah-kisah kita setahun ini.

Sehingga bertemu lagi.

Salam sakinah~

 

Epilog TAIFU

[1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9]


Leave a comment

Rebah (episod 9)

Mari, duduk sebentar denganku.

Apa kau pernah merasa? Sepertinya, kau bisa berbuat apa sahaja. Ribut (Taifu) yang mendatang boleh kau redah, badai yang menyapa boleh kau terjah. Gunung melangit, angin menderu, bumi gempar, laut bergetar, semua bisa kau tepis mudah.

Iya, kau jatuh. Bahkan adakala tersungkur, mencium bumi. Tapi kau bangkit kembali. Kemudian jatuh, dan bangun lagi. Lagi dan lagi. Semangat kau kental!

Ya, aku juga begitu dahulu!

Sehingga aku belajar erti lelah. Dan pasrah dengan duduk sahaja di sini, memerhati dunia yang menggila di depan mata. Kau lihatlah mereka, begitu gembira. Berlari meluncur laju, bergelak ketawa sesama mereka. Bagai sudah lupa, sebentar lagi mereka akan rebah jua, mencium bumi sepertinya aku kini.

Kau lihat lagi di sana, mereka berlanggaran sesama sendiri. Akhirnya, semua terluka.

Dan mereka bangkit lagi, ketawa, lupa, kemudian rebah dan terluka.

Ah! Jangan pernah tuduh aku mudah patah semangat.

Aku cuma penat. Bukan aku tidak cuba berdiri. Tapi sakitnya jatuh tersungkur itu buat aku serik!

“Wei, S, kau duduk termenung apa lagi kat situ! Jom, bangun! Kalau tak cuba, bila nak pandai main snowboard ni! Dah, dah, dah, jangan nak mengada-ngada buat drama layan perasaan kat sini. Jom bangun!”

Ya! Hari ini mengajar aku, di kala kita rebah dan tidak larat bangun kembali, sahabat sejatilah yang akan menarik kita bangkit dan berjuang lagi.

Yosh, jom meluncur.

….

Pap! Ah, mencium bumi lagi!

Kita takkan pernah rebah sendiri~

Kita takkan pernah rebah sendiri~

Stand Together - You'll Never Walk Alone~

Stand Together – You’ll Never Walk Alone~

bersambung…

episod 1

episod 2

episod 3

episod 4

episod 5

episod 6

episod 7

episod 8


2 Comments

Q (episod 8)

Klik! Klik! Klik!

Q menggoyang-goyangkan kaki, melonggarkan sedikit sendi yang tegang. Meluruskan kembali kaki, yang sedikit terketar-ketar. Tubuhnya menggigil.

Tak tahulah, suhu yang dingin dengan salji menyelimuti tanah yang menjerut tubuhnya, atau rasa gerun dan takut berdiri di tengah medan pertempuran yang menggoncang hatinya.

‘Ah, dunia ini perlukan jurukamera yang berani, merakam setiap sisi kontroversi dan realiti dunia ini. Biar jadi teladan generasi akan datang!’

Q melangkah ke depan. Kali ini lebih teguh dan berani. Matanya masih liar mencari sudut-sudut yang menarik dan dirakam kemas dengan DSLR kesayangannya.

Medan tempur masih riuh.

Tubuh-tubuh bergelimpangan di sana sini, rebah kecundang dihunjam peluru-peluru yang datang tanpa henti. Beberapa pejuang masih bertahan di kubu masing-masing, meski dihunjam dengan serangan pelbagai arah.

Ada juga yang lari bertempiaran meninggalkan medan tempur. Sesetengah yang berhati waja, terus meluru ke depan menerjah kubu lawan, tanpa mempedulikan peluru-peluru sesat yang berterbangan.

Jerit pekik komander-komander, menyusun dan membakar semangat juang kader-kadernya bergema. Bersahut-sahutan.

6 komander, 6 wilayah, 6 kubu, 60 kader, 120 minit, 1 matlamat, sejuta debaran.

Q terkedu.

Sayu hatinya, memandang tubuh kecil Encik R (pakar bom dari Oita), tergolek 50meter di hadapannya. Lensa kameranya sempat merakam wajah kecewa Encik R, melihat kubu sendiri dihunjam peluru-peluru tentera wilayah lain.

Hati Q menangis, ibarat turut sama merasai pedih hati Encik R yang gagal mengawal kubunya. Tambah mengguris hatinya, melihat tentera wilayah S, tidak berpuas hati dengan sekadar meranapkan kubu malah terus menerus melontar peluru bertubi-tubi menghunjam Encik R.

Encik R rebah. Tidak mampu lagi bangkit.

Suasana hening seketika. Q gamam. Dalam kemelut perasaan yang melanda, Q terlupa, dia masih berada di medan tempur 6 wilayah.

Perlahan, sebutir peluru meluru laju. Q mendongak. Jantungnya terasa berhenti berdegup. Beberapa detik lagi. Tiada ruang untuk lari.

Q pasrah.

Pap!

Q menyapu wajahnya yang mula membeku terkena peluru salji yang dilontar Encik O.

Pengajaran hari ini, peluru bola salji tidak mengenal kawan atau lawan, tidak mengenal peserta atau AJK.

Q melangkah keluar dari medan tempur, membawa satu azam, perang bola salji TAIFU tahun hadapan, pasti dia akan turut serta sebagai pelontar peluru juga.

Kubu~

Kubu~

 

Q pasrah~

Q pasrah~

bersambung…

episod 1

episod 2

episod 3

episod 4

episod 5

episod 6

episod 7


Leave a comment

Nota TAIFU (Episod 7)

Credit to : adik N

p/s : Ini nota malam tu yang abang minta. Nota saya tak lengkap sangat tau, abang L, minta maaf ya. Kalau ada kurang atau silap tu, abang betulkan dan tambah lah ya. Semoga bermanfaat. Hihi

Nota TAIFU slot 1 :

A. Beberapa pandangan tidak harmoni tentang al-Quran

1. Dibaca untuk pahala

-Bila bulan Ramadan, berlumba-lumba orang baca Quran.

-Bulan-bulan lepas tu, tinggal atas almari.

-Sebab apa? Sebab dalam bulan Ramadan, dapat banyak pahala.

-Jadi kita ni, baca al-Quran semata-mata nak kejar pahala sahaja.

-Bukan sebab nak tambahkan kefahaman pada Quran.

-Sebab itu, kita lagi sibuk betulkan tajwid, daripada betulkan kefahaman kepada al-Quran.

2. Diletak di tempat tinggi

-Al-Quran ini selalu letak kat atas almari, tempat yang tinggi-tinggi sangat, sampai tak tercapai dengan tangan.

-Sebab tu Quran terasa jauh dari diri kita.

-Bila ada masalah, tak cari al-Quran.

-Sebab Quran jauh.

-Dikeluarkan dalam majlis-majlis tertentu sahaja. Seperti buat hantaran kahwin.

3. Dibaca dalam masjid

-Kena baca Quran dalam masjid atau surau sahaja.

-Kalau baca di tempat umum (terbuka) seperti dalam kereta api atau bas, nanti orang pandang pelik.

-Orang rasa tak selesa, sebab Quran tu mereka rasa perlu baca dekat tempat mulia sahaja.

-Sedangkan sepatutnya Quran kena baca setiap kali ada kelapangan, di mana sahaja.

4. Dibaca oleh orang baik

-Kalau ada orang kita tak kenal, kita pergi rumah dia, nampak ada Quran atas meja, mesti kita rasa dia orang baik.

-Sebab kita rasa, orang baik sahaja yang baca al-Quran.

-Sepatutnya, Quran ini dibaca oleh semua.

-Sama juga, kita rasa, kita tak boleh bercakap, bersembang, berbincang tentang al-Quran.

-Hanya orang baik sahaja boleh cakap tentang al-Quran.

B. Interaksi yang harmoni dengan al-Quran

1. Al-Quran untuk kita

-bila baca Quran, kena rasa ayat itu ditujukan kepada kita.

-bukan ditujukan kepada Nabi Muhammad sahaja

-jadi bila ada ayat-ayat perintah, kena rasa lah, perintah itu ditujukan kepada kita, jadi kita kenalah buat.

2. Kita ialah hamba dan khalifah

-Setiap orang ada pandangan berbeza-beza

-Petani, kalau baca buku tentang ikan, pandangan dan perasaan dia tak sama macam nelayan yang baca buku tentang ikan.

-Kalau kita tak memahami tanggungjawab kita sebagai hamba dan khalifah, pandangan dan perasaan kita masa baca Quran takkan sama dengan para sahabat.

-Abang M kata, kalau nak faham tentang hamba dan khalifah lebih lanjut, kena datang program seterusnya (atau bincang dalam bulatan gembira)

3. Munajjaman

-Quran turun sikit demi sikit

-Supaya boleh diserapkan dalam hati dengan mudah

-Kalau turun sekaligus, kefahaman tu tak meresap dan mendarah daging dalam diri.

-Jadi macam itu juga kita, kena faham sedikit demi sedikit, dan penting sekali amalkan.

4. Kita kena selalu kumpul

-Kita kena selalu dekatkan diri dengan orang-orang yang sayangkan agama macam kita.

-Sebab kefahaman dan pandangan kita ini berbeza-beza, jadi kalau kumpul ramai-ramai, boleh kongsi dan dengar pandangan orang lain.

-Peringatan untuk diri : kena rajin, jangan malas-malas ponteng bulatan gembira dan program-program.

5. Bahasa arab

-Al-Quran diturunkan dalam bahasa arab

-Bahasa arab ada nahu, sorof dan balaghah.

-Perkataan-perkataan dalam al-Quran ada nada (perasaan) yang ingin ditonjolkan.

-contohnya, ayat yang bernada marah, gembira, memujuk dan lain-lain.

-Jadi, kita kena kuasai bahasa arab.

-Kalau dalam keadaan kita sekarang, yang tak pandai bahasa arab, kena usaha membaca tafsir al-Quran.

C. Muqaddimah Zilal

1. Al-Quran sebagai pembeza (furqaan) antara jahiliyyah dengan Islam

2. Matlamat hidup orang yang hidup di bawah bayangan Quran dengan orang yang hidup di bawah bayangan jahiliyyah, berbeza. Kita hidup di bawah bayangan mana?

3. Bila baca Quran, sepatutnya kita akan dapat melihat keseimbangan antara syariat Allah dengan harakat (pergerakan) alam dan harakat kehidupan manusia. Jadi bila kita nampak kehidupan kita ini berkecamuk, banyak sistem-sistem yang rosak dan sebagainya, sepatutnya kita faham, bahawa jalan untuk mengembalikan keseimbangan alam, ialah dengan mengembalikan syariat pada tempatnya.

4. Dunia ini hakikatnya lebih besar dan luas. Dan ia meliputi alam syahadah dan akhirat.

5. Manusia ini mulia kerana rohnya (akidah). Jadi, setiap manusia yang berkongsi akidah yang sama dengan kita adalah saudara kita, warganegara kita, dan tanah air kita. Inilah ikatan yang menyatukan kita, melewati batas-batas ikatan darah, bangsa dan sebagainya.

adik N sedang salin nota

bersambung…

 

Episod 6

Episod 5

Episod 4

Episod 3

Episod 2

Episod 1


Leave a comment

Jangan Susahkan yang Senang

Senangnya…

Senangnya kita nak lepak berjam-jam tengok movie, layan facebook, chat dll...

TAPI susahnya kita nak korbankan 2-3 minit nak buat solat sunat.

Senangnya kita nak lepas kata-kata kasar, mencarut. mengutuk, mengumpat dll…

TAPI susahnya kita nak berdoa atau berzikir.

Senangnya kita nak layan komik, manga, novel dll...

TAPI susahnya kita nak sembang baca Al-Quran.

Senangnya kita nak gerak pergi melepak dengan kawan, keluar karaoke, shopping dll…

TAPI susahnya kita nak gerakkan kaki ke masjid terdekat.

Senangnya kita nak ingat tarikh temu janji, tarikh hantar assignment, tarikh exam dll…

TAPI susahnya kita nak ingat maut yang bakal datang bila-bila masa.

Betul ke?

Betul ke susah?

Bila fikir balik, macam senang je.

Jauh lebih senang dari perkara yang kita rasa senang tu.

Jadi kenapa susah?

Sebab kita yang sengaja susahkan.

Sedarlah.

Jangan susahkan yang senang.

Wallahualam.


Leave a comment

Aku sayang juga… (Episod 6)

Suasana hening seketika.

Dia di depan sedang bercerita tentang dunia yang menggila. Ya, gila! Menyepak-nyepak, memijak-mijak syariat mulia ini di depan kita semua. Dan lebih gila lagi, dia memandang bersahaja agama ini dipersenda. Paling gila sekali, tentulah kerana, dia mengaku dia sayangkan agama.

Dia di depan sedang bercerita tentang dunia yang menggila. Sesekali dia terdiam, menggigit bibir, menahan rasa sesal yang hadir barangkali. Dia bangkit lagi, bercerita dan bercerita.

Kemudian dia bertanya. Ah, aku lebih dulu bertanya hatiku sebenarnya, “mengapa sampai begini jadinya kita?”.

Sedang makin bercambah kuliah agama, bertambah pula maksiat melata.

Makin banyak formula solat sempurna, makin meriah pula zina dijaja.

Pemuda yang diharap membela agama pula, semangat juangnya entah ke mana-mana. Bising melalak untuk isu-isu picisan. Bergaduh, berbalah, saling mencaci dan mengeji untuk perkara-perkara kecil. Entah apa sebenarnya yang hendak mereka perjuangkan.

Ah, kusut!

Bukan suara-suara encik I, encik J dan encik K yang sibuk berbincang yang menyerabutkan. Bukan juga suara-suara dari perbincangan kumpulan lain yang mencelarukan.

Ia di dalam. Di sudut hati yang tersembunyi. Suara dia bergema-gema, membingitkan jiwa.

“Anda sayangkan agama ini?”

Ada sesuatu yang hilang di sini.

Aku sayang juga agama ini. Bahkan aku rasa, mereka juga sayang agama ini. Kami solat, kami puasa dan bayar zakat. Bahkan kamilah yang memenuhi masjid-masjid, bertarawih. Dan solat raya, meriah dengan warna-warni baju baru kami.

Kami baca juga al-Quran. Tambah-tambah bila tiba ramadhan, makin laju kami menghabiskan bacaan.

Ya, al-Quran!

Mungkin bukan sayang pada agama ini yang hilang. Mungkin ia cuma kurang, kerana kurangnya aku, dia dan mereka, memahami al-Quran, seperti yang sepatutnya difahami.

Kerana generasi sahabat dulu, sayangnya mereka pada agama bukan tiba-tiba datang. Ia terbit dari kefahaman pada al-Quran. Sedikit demi sedikit, difahami dan diamalkan. Satu demi satu, ayat yang turun, hingga akhirnya menjadilah mereka generasi yang mulia.

Yang sayangkan agama, dan menyebarluaskannya. Hingga jadilah Islam, paling tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi darinya.

Ya, kuncinya ialah memahami al-Quran.

Dia di depan sedang bercerita tentang dunia yang menggila. Kerana memiliki kitab mulia, tapi tidak berusaha memahaminya. Dia berkongsi sedikit rahsia, bagaimana memahami al-Quran sepertimana yang seharusnya.

Dan aku, di sudut bilik itu, memasang telinga, mendengar dan cuba memahami. Supaya dapat aku amalkan bila pulang dari TAIFU nanti.

Kerana sesungguhnya, aku juga sayangkan agama ini…

Dia di depan sedang bercerita

Dia di depan sedang bercerita

bersambung…

 

Episod 7

Episod 5

Episod 4

Episod 3

Episod 2

Episod 1


Leave a comment

Anda Punya Hati?

Anda punya hati?

Dunia kini makin tenat..
Lebih suka untuk saya katakan umat kita makin tenat..

Masalah demi masalah melanda. Dari penindasan dan kekejaman di Palestin, krisis kelaparan di Somalia, kedhaifan di negara-negara Afrika, kejatuhan ekonomi dunia, kerosakan akhlak manusia, gejala sosial yang semakin teruk lagi hina, hedonism, seks rambang, zina berleluasa, gay dan lesbian, video lucah, hiburan yang melampau. Lagi dan lagi.

Maksiat berleluasa dan berlaku di hadapan kita.

Kezaliman berleluasa dan dibiar begitu sahaja

Apa anda rasa? Anda yang hidup bersama-sama dalam masyarakat yang penuh noda dan kemaksiatan ini? Hiburan sudah menjadi perkara biasa, hubungan lelaki perempuan sudah tidak diambil kira, Anda yang hidup bersama-sama dalam masyarakat yang penuh kezaliman ini. Bukan zalim seorang raja yang menyeksa hambanya. Tapi zalim membiarkan yang susah terus kesusahan, yang miskin terus kemiskinan, yang ditindas dibiar sendirian.

Apa yang anda rasa ye? Saya cukup hairan, dunia terlampau tenat tapi saya lihat anda semua bagai tiada rasa apa. Bagai tiada apa yang berlaku. Anda masih senang hati bergelak tawa di depan kaca TV? Tanpa berasa apa-apa melihat maksiat dihidang di depan mata? Malah gelak tertawa penuh gembira? Anda masih cukup lapang bermain game berjam-jam kerana bosan? Anda cukup mudah untuk share video-video yang kadang-kadang mengaibkan dan menghina sesetengah pihak? Anda tanpa rasa bersalah malah tidak kurang teruja untuk berkongsi video-video yang kadang-kadang isi di dalamnya penuh kemaksiatan walaupun mesejnya bagus. Anda cukup senang berlawak dan mengenakan rakan-rakan di FB dengan alasan gurauan. Takkan gurau pun tak boleh? Bukan itu masalahnya..

Saya ingin bercakap mengenai sensitiviti. Sejauh mana anda sebagai seorang yang dikurniakan hidayah islam ini punya hati? Terhadap keadaan saudara anda sendiri yang juga punya kurniaan hidayah ini tapi mereka tertindas, dizalimi, dalam kesusahan, dan serba kekurangan ini? Terhadap masa depan masyarakat sekeliling anda yang juga punya hidayah ini tapi semakin lama terhakis hingga hanya ada pada nama? Yang anda tengok sendiri tanpa rasa apa-apa di TV itu. Bagaimana kalau dibiarkan berterusan? Tidak mustahil jika kewujudan tuhan itu pun dinafikan nanti. Mengapa tidak? Hukum tuhan sudah terang-terang dinafikan malah diselekehkan dan dipermainkan.

Saya menganggap anda yang punya usaha untuk membaca post tidak seberapa ini punya hati, mencari sinar islam untuk bangkit kembali, mencari kekurangan dalam hati yang sudah sekian lama jahiliah menyeliputi. Dalam ketenatan dunia ini juga sudah terlihat sinar kebangkitan.

Bangkitlah wahai pemuda sekalian, lembutkanlah hati anda, untuk turut serta bersedih, marah, bencikan kemaksiatan dan kezaliman yang berlaku di sekeliling kita. Saya tidak ingin bercakap perkara besar tentang tujuan atau matlamat hidup manusia, mahupun dosa atau pahala. Apatah lagi dakwah atau tarbiyah. Anda pasti bosan dan rasa gatal seluruh badan dengan perkataan-perkataan tersebut..

Tapi sekurang-kurangnya saya mahu menyeru anda untuk berasa sensitiflah terhadap setiap apa yang berlaku dalam kehidupan seharian anda, ketika menonton kaca televisyen, ketika menelaah buku muka (baca facebook), ketika berjalan melihat alam, ketika berbicara dengan rakan taulan mahupun ketika sendirian. Berfikirlah sebelum berkata, menulis status mahupun share atau like di FB. Setiap perbuatan anda sama ada membawa kepada syurga ataupun neraka. Walau sekecil mana, walau seremeh mana anda sangka. Malaikat di kiri dan kanan anda tidak pernah terlepas dari memerhatikan pergerakan anda.

Juga berpada-padalah dalam bergelak ketawa, dan bergurau. Terlalu banyak tangisan yang menagih simpati anda untuk anda terus membuang masa dengan hal-hal yang remeh temeh dunia ini.

Jangan biarkan diri terus dimainkan syaitan, menyangka hidup dalam kebebasan dan pinsip diri tapi sebaliknya terjerumus dalam lembah kehinaan. Jika anda sendiri yang menutup hati anda sendiri, adakah tuhan akan membuka hati anda?

Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik. [57:16]